SHAH ALAM – Biarpun pernah diejek dan dipandang rendah kerana terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak akibat kecacatan pada kaki kiri, Anis Izzati Mustafa tidak pernah lemah semangat untuk mengejar kejayaan dalam hidup.
Hasil kegigihannya, gadis kelahiran Mantin, Negeri Sembilan itu kini melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Sains Bioteknologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas kira-kira dua bulan menerima ijazah bidang sama dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut Anis Izzati, 22, menyedari kekurangan pada diri, dia menanam tekad untuk berjuang dalam bidang akademik bagi menunjukkan kepada orang ramai bahawa golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya juga boleh berjaya.
“Disebabkan kesedaran itu, saya hanya berehat kira-kira dua bulan selepas konvokesyen Oktober lalu kerana hari ini saya sudah mendaftar sebagai pelajar baru,” katanya ketika ditemui di kampus induk UiTM di sini semalam.
Semalam, lebih 1,000 pelajar baru mendaftar bagi program sarjana dan doktor falsafah (Ph.D) untuk sesi Disember 2009 hingga Jun 2010 dan dijangka jumlah keseluruhan pelajar yang mendaftar seramai 2,439 orang.
Anis Izzati berkata, kepayahan yang dialami sepanjang belajar di Kolej Matrikulasi di Johor dan kemudian melanjutkan pelajaran di UMS mengajar erti ketabahan untuk terus menggenggam kejayaan dalam bidang akademik.
Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my
norlida.idros@kosmo.com.my
Sumber: kosmo online
2. Calon OKU bukti cipta kejayaan cemerlang
2010/03/12
KOTA BAHRU: Ketiadaan kaki dan tangan sejak lahir, tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Suhazli Wan Muhamad, 17, memperoleh 7A dan 4B dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, semalam.Beliau memperoleh Gred A bagi Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik, Gred A- bagi Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan dan Sains Pertanian, manakala Gred B bagi Fizik, Kimia, Biologi serta Inggeris bagi Sains dan Teknologi.
“Tiada jadual khusus, tetapi sentiasa memastikan saya memahami dengan baik apa yang diajar guru sebelum mendalaminya dengan latihan tubi.“Kemiskinan keluarga dengan kekurangan fizikal pada diri, membuatkan saya tekad belajar bersungguh-sungguh supaya mampu berdikari satu hari nanti,” katanya yang bercita-cita menjadi akauntan.
Pelajar Maktab Sultan Ismail (SIC), Ahmad Zairi Zaidi, membuktikan masalah rabun penglihatan sejak berusia enam tahun kerana jangkitan kuman bukan penghalang untuknya mencatat keputusan 9A dan 1B dalam SPM.
Katanya, dia duduk di barisan depan dalam kelas kerana memerlukan pengamatan lebih dekat walaupun keadaan rabun itu menyukarkannya membaca dengan cepat. “Saya meminta bantuan rakan menyalin bahan pembelajaran, selain menggunakan kanta pembesar ketika belajar di rumah,” katanya.
Di KUALA TERENGGANU, hasrat Nur Najmi Syamila Mohd Sakari, 18, dari SMK Bukit Besar di sini, membuktikan orang kurang upaya (OKU) sepertinya mampu mencipta kejayaan akhirnya tercapai apabila memperoleh keputusan 8A+ dan 2B.
Beliau antara lima pelajar terbaik SPM Terengganu, berkata usaha bersungguh-sungguh, yakin pada kemampuan diri dan selalu berdoa kepada Allah SWT memohon kejayaan menjadi resipi kejayaannya.
“Masalah penglihatan ini memaksa saya mendekatkan mata dengan buku setiap kali mengulang kaji pelajaran yang mengambil masa antara empat hingga lima jam sehari pada waktu malam,” katanya yang mahu menjadi guru Pendidikan Khas.
DI IPOH, kecacatan Tan Bing Xuan, pelajar SMK Ave Maria Convent di sini dan Nor Umairah Ahmad Jamhari, pelajar SMK Raja Muda Musa, Teluk Intan, menjadi pembakar semangat mereka untuk mencatat keputusan cemerlang.
Tan yang menghidap penyakit Generalised Dystonia sejak berusia 10 tahun dan terpaksa menggunakan kerusi roda memperoleh keputusan 8A+ dan 2A.
Nor Umairah pula yang menjawab semua kertas peperiksaan menggunakan kaki, mendapat 2A+, 3A, 3B+, 1B dan 1C.
3. Pusat serantau pendidikan khas SEAMEO beroperasi 2013
2010/07/28
KUCHING: Kementerian Pelajaran telah diberi pengiktirafan untuk mewujudkan pusat pendidikan khas untuk rantau ini di bawah Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO), kata Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Bong Muk Shin. Beliau berkata, pusat di Nilai, Negeri Sembilan, itu akan beroperasi pada 2013 dan berperanan sebagai pusat serantau kepada semua 13 negara anggota majlis itu untuk membuat penyelidikan dan latihan pendidikan untuk pelajar istimewa.
"Bagi kita, pusat ini pasti dapat mempertingkatkan kaedah latihan dan penyelidikan sekaligus memartabatkan pendidikan khas di negara dan rantau ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Persetujuan mengenai penubuhan pusat itu dicapai pada persidangan SEAMEO ke-45 di Cebu, Filipina, awal tahun ini yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Menteri Pelajaran.
Bong berkata, setakat ini terdapat 1,630 sekolah rendah dan menengah biasa di seluruh negara yang terbabit dalam program pendidikan khas untuk 43,161 pelajar istimewa.
"Kita juga mempunyai 32 sekolah pendidikan khas sepenuhnya di seluruh negara iaitu 28 sekolah rendah dan empat sekolah menengah," katanya. - BERNAMA